BAGI yang tidak tahu, perlumbaan Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL 2018) sedang berlangsung di negara kita sekarang turut disertai pelumba-pelumba handalan dari luar negara.

Perlumbaan jelajah berbasikal berprestij itu diadakan bermula 18 Mac yang lalu sehingga 25 Mac ini, menjelajah seluruh negara bermula di Kangar, Perlis dan berakhir di Kuala Lumpur.

Dalam kemeriahan LTdL 2018 ini, orang ramai pasti ingin menyaksikan perlumbaan tersebut sekiranya ia sedang berlangsung berdekatan dengan lokasi kediaman mereka.

Ketika berlangsung peringkat ketiga perlumbaan dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu semalam, masyarakat setempat yang berada di lokasi berdekatan turut ambil kesempatan menyaksikan pelumba handalan ini beraksi.

Namun, selepas berakhirnya perlumbaan di Kuala Terengganu semalam, para penonton disajikan dengan pergaduhan antara dua pelumba basikal yang bertindak agresif terhadap satu sama lain.

Kejadian tersebut dirakamkan oleh orang awam yang berada di kawasan itu dan menjadi tular melibatkan pelumba dari China, Chen Zhiwen dan pelumba negara, Mohd. Harrif Salleh.

Dalam rakaman video berdurasi 39 saat itu, Chen yang merupakan pelumba pasukan Giant Cycling Team dilihat bertindak agresif dengan menyerang Harrif dengan menggunakan tangan dan rim basikal.

Dalam video yang berlatarbelakangkan Pasar Payang itu menyaksikan Harrif bertindak balas terhadap serangan dilakukan pelumba China berkenaan dengan melemparkan basikalnya ke arah Chen.

Mereka berdua kemudian dilihat bergelut buat seketika sebelum pergaduhan mereka dilerai dan ditenangkan oleh pelumba-pelumba lain yang turut berada di selekoh berkenaan.

CHEN (TENGAH) BERSAMA RAKAN SEPASUKAN GIANT CYCLING TEAM.

Video itu berakhir selepas keadaan kembali tenang dan Harrif berlalu pergi dari tempat kejadian.

Sejurus kejadian itu, Chen disingkirkan terus daripada baki perlumbaan LTdL 2018 selepas didapati bersalah melakukan kekasaran ke atas pelumba lain sebaik berakhirnya saingan peringkat ketiga, semalam.

Komisar LTdL 2018 dalam laporannya membuat keputusan menyingkirkan pelumba itu mengikut Artikel 30.1 kerana didapati bertindak ganas ke atas pelumba lain.

Selain itu, Chen turut dikenakan hukuman mengikut Artikel 37 atas kesalahan melakukan perbuatan yang merosakkan imej sukan berbasikal dan sekali gus dijatuhkan hukuman denda.

HARIFF SALLEH DAN CHEN ZHIWEN.

Sementara itu, Harrif juga didapati bersalah mengikut artikel sama serta turut menerima denda atas perbuatannya bertindak balas kepada serangan Chen namun masih dibenarkan berlumba pada baki saingan LTdL 2018.

Bagaimanapun, kedua-dua pelumba tersebut dilaporkan telah berbaik dan turut mengambil gambar bersama sebelum saingan peringkat keempat dari Dungun, Terengganu ke Pekan, Pahang, pagi tadi.

 

Advertisements