GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa beliau secara tidak sengaja menyanyi dan menari lagu anti-GST dalam satu majlis untuk kanak-kanak di flat Mutiara Idaman 2, Jelutong baru-baru ini.

Justeru, beliau yang yang juga Setiausaha Agung DAP mempersoalkan adakah atas sebab itu maka wajar pihak polis menjalankan siasatan jenayah ke atas beliau selaku seorang Ketua Menteri.

“Seseorang boleh mempersoalkan sama ada berbuat demikian dalam majlis dihadiri kanak-kanak sesuai. Bagaimanapun saya tidak pernah menjangkakan akan menyanyi dan menari lagu anti-GST.

“Hal ini tidak pernah disebut oleh mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN), mana-mana parti politik mahupun kerajaan BN,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam video berdurasi 32 saat itu, Guan Eng dilihat cuba menyemai kebencian politik dalam kalangan kanak-kanak dengan menari dan mengejek dasar GST dalam lagu A, B, C sebelum ia viral di laman sosial.

Perbuatan Guan Eng itu dikecam ramai pihak termasuk netizen yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tindakan ‘minda kelas bawahan’ oleh pemimpin Pakatan Harapan.

Berikutan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan memaklumkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan ke atas Guan Eng selepas laporan mengenainya dibuat oleh beberapa pihak.

Guan Eng seterusnya mendakwa kononnya polis bersikap `double standard’ untuk mengganggu persiapan DAP menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

Beliau mengungkit bendera dikibarkan dan lagu UMNO berkumandang di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya pada Oktober tahun lalu pada satu acara anjuran sekolah berkenaan.

“Polis `double standard’ tidak mengambil tindakan apabila ada pelajar menyanyikan lagi UMNO, melaungkan slogan UMNO dan mengibarkan bendera UMNO,” dakwanya.

Hujah Guan Eng itu namun tersasar kerana acara di Sekolah Kebangsaan Presint 14 itu adalah bersempena sambutan Hari Kebangsaan negara yang dirancang pihak sekolah.

Ia bertujuan menerangkan kepada pelajar dalam bentuk pengkisahan sejarah perjalanan negara dalam memperoleh kemerdekaan yang terbit hasil perjuangan UMNO, MCA dan MIC.

“Walaupun saya tidak berpuas hati dengan `double standard’ polis, saya akan memberi kerjasama penuh apabila mereka datang untuk mengambil kenyataan saya,” kata Guan Eng. 

 

Advertisements