TERDAHULU, Pengerusi Skim Wajib Tayang iaitu Zahrin Aris mencabar pengarah, Ahmad Idham membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan agihan pawagam bagi filem arahannya.

Susulan itu, Idham dilaporkan menyahut cabaran tersebut dengan membuat laporan kepada pihak SPRM berhubung hal berkenaan pada Selasa.

Idham berkata, keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan dilihat mengundang pandangan negatif masyarakat umum terhadap karya terbaharunya,Hantu Wangan.

“Saya ingin tahu adakah keputusan jawatankuasa Skim Wajib Tayang itu telus? Kebetulan salah seorang daripada ahli PPIM turut menerima nasib sama daripada keputusan Skim Wajib Tayang mengenai agihan pawagam.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang ialah perbincangan sudah dimulakan, langkah-langkah seterusnya bakal menyusul,” katannya.

PENGARAH, AHMAD IDHAM

Difahamkan, Idham yang juga pengarah filem Jangan Pandang Belakang Congkak itu membuat kunjungan ke pejabat SPRM bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) iaitu Datuk Nadzim Johan.

Sebelum ini, Idham memberitahu bakal membuat laporan kepada SPRM berhubung hal itu dalam masa terdekat.

Beliau mahu pihak SPRM menyiasat jawatankuasa berkenaan yang didakwa bersikap tidak adil dalam membuat keputusan berhubung jumlah pawagam bagi tayangan filem terbaharunya.

Idham turut mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan jawatankuasa yang dilantik sebagai pelaksana dalam skim berkenaan. 

Advertisements