KUALA LUMPUR: Perbahasan hari ini sekali lagi menjadi kecoh apabila tercetus Perbalahan tercetus apabila Siti Zailah yang mewakili PAS Rantau Panjang mempertikaikan lambang dacing pada baja padi yang dibekalkan kerajaan persekutuan. Perbalahan tersebut tercetus semasa  perbahasan peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 

“Saya tengok semua seluruh negara baja padinya cap dacing. Kami di Kelantan bagi juga baja padi kepada rakyat tapi kami tidak letak cop bulan. Duit bantuan ini duit negara bukan duit BN,” katanya.

Walau bagaimanapun,  Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjelaskan baja padi itu menggunakan lambang dacing kerana bantuan itu daripada kerajaan persekutun yang ditadbir Barisan Nasional (BN).

“Mengapa ada cap dacing? Cap dacing kita punya. Kalau anda punya nak letak cap apa terpulanglah. Kita tak salah pun. Sementara kita memerintah kita cap,” katanya sambil ketawa.

Jawapan Tajuddin dilihat menimbulkan rasa tidak puas hati Zailah yang mengingatkan baja padi itu daripada wang milik pembayar cukai dan bukannya milik parti.

Zailah juga berkata BN tidak layak meletakkan lambang gabungan itu pada baja milik kerajaan.

“Tidak mengapa kalau letak lambang kerajaan macam harimau. Tapi ini lambang parti. Ini salah guna kuasa dan tak patut,” tegasnya.

Tajuddin kemudian berkata PAS tidak perlu menjadikan penggunaan lambang dacing sebagai satu isu kerana hal yang sama didakwa turut berlaku di Selangor.

“Di Selangor letak cop PKR. Macam-macam cop saya tengok dekat belakang, dekat kepala, cop merata. Apa bagi dekat orang ramai semua bercop. Kenapa? Kamu buat kamu punya hal, kita buat kita punya hal,” katanya. – Malaysianews TV

Advertisements