CANGGIH… Kompleks Tanah Perkuburan Islam paling baharu, iaitu Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 2 di ibu negara untuk urusan pengebumian jenazah umat Islam, mula dibuka hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kawasan tersebut yang dibina dengan kos sebanyak RM8.7 juta merupakan kompleks tanah perkuburan Islam kedua paling moden di Asia Tenggara.

Untuk rekod Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah KL-Karak di Jalan Ipoh dekat Taman Selasih, Fasa 2, Batu Caves, Selangor merupakan perintis projek kubur dalam taman itu yang dibuka sejak 1994 dengan kos RM3.9 juta.

Ia dibangunkan dalam tujuh fasa berbeza dengan keluasan keseluruhan 98 ekar dan mengandungi 14,440 plot kubur, manakala kompleks terbaharu kali ini yang seluas 2.16 hektar pula boleh menempatkan 4,458 plot kubur.

“Pembukaan Kompleks Tanah Perkuburan ini dijangka dapat menampung keperluan umat Islam terutamanya dari sekitar ibu negara untuk urusan pengebumian yang semakin bertambah ramai pada setiap hari.

“Ia ada pelbagai kemudahan seperti lanskap menarik, medan kereta luas dan siar kaki ini selain memperkenalkan lot kubur yang diseragamkan saiz dan reka bentuk dengan diberi sistem batu tanda atau batu nisan khas,” katanya.

Jamil berkata demikian ketika merasmikan Kompleks Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 2. Idea projek pemodenan kawasan kubur tersebut malahan dicetuskan oleh beliau sendiri pada awal 1990-an lalu.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Azman Hashim, Tan Sri Azman Hashim yang juga merupakan rakan strategik bagi pembinaan kompleks perkuburan Islam moden tersebut. 

Advertisements