Produk industri asas tani keluaran usahawan tempatan dilihat sudah bersedia untuk ke pasaran global dengan pelabelan, pembungkusan serta kualiti produk yang mencapai piawaian antarabangsa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata berdasarkan pengalamannya ketika melawat luar negara, produk keluaran tempatan tidak banyak berbeza dengan produk di negara terbabit malah ada yang kualitinya jauh lebih baik.

Menurutnya lagi,uUsahawan tempatan sudah bersedia untuk menembusi pasaran antarabangsa dan terdapat banyak peluang pasaran untuk mereka yang patut diketengahkan. Pihak kementerian juga  akan membimbing usahawan tani yang berkenaan dalam memastikan setiap produk mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau yang ditemui  selepas merasmikan Program Jimat Belanja sempena Road To MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Antarabangsa) Zon Utara di Dataran Menara Condong Teluk Intan, di sini hari ini.

Tajuddin berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 25,000 pengunjung ke ekspo dua hari sehingga esok itu yang disertai kira-kira 100 usahawan dengan kebanyakannya adalah wanita.

Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan 70 peratus penglibatan golongan wanita menerusi program Road To MAHA 2018  bukti komitmen kerajaan dalam memperkasakan golongan tersebut.

Justeru beliau berkata, Road To MAHA bukan sahaja untuk memperlihatkan keberadaan wanita sebaliknya yang lebih penting produk yang dihasilkan bukan semata-mata untuk pasaran tempatan tetapi diperluaskan di peringkat antarabangsa.

Advertisements