Sabak Bernam: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md.Yunos hari ini melancarkan program pecah tanah bagi projek pembinaan rumah percuma sekiranya rakyat memberi mandat dan memilih Barisan Nasional sebagai tampuk pimpinan pada PRU14 yang tidak lama lagi. 

 

Jamal berikrar membina sebanyak 300 unit rumah percuma BN bernilai hampir RM25 juta dengan keluasan 900 kaki persegi memuatkan 3 bilik dan 2 bilik air. Projek rumah percuma itu akan diberikan kepada pasangan muda yang baru berkahwin berpendapatan RM2500 kebawah selain dari keluarga yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai harta serta tanah.

 

 

Beliau juga memaklumkan bahawa pemberian rumah percuma tersebut adalah dasar kebajikan kepada masyarakat tanpa mengira sokongan mahupun ideologi mana-mana parti politik.

Pembinaan itu nanti dilaksanakan di empat kawasan iaitu di Parit 16 Sungai Panjang, Sungai Leman Sekinchan, Pekan Sungai Besar dan Pekan Sekinchan. 

 

 

Difahamkan, idea bantuan ini tercetus dari program turun padang berjumpa masyarakat yang rata-rata memaklumkan kesukaran dan tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri. Justeru, beliau menegaskan rakyat Selangor seharusnya membuka mata mengembalikan kepercayaan kepada pimpinan BN agar bantuan ini dapat terus direalisasikan. – Malaysianews TV

Advertisements