KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 19 anggota kongsi gelap Geng 08 serta memburu 22 lagi kerana terbabit dalam jenayah terancang dan jenayah serius selain membuat rampasan serta sitaan bernilai kira-kira RM167,300.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek berumur 18 hingga 38 tahun itu ditangkap di sekitar Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pahang dalam Op Capital dari 28 hingga 30 Mac lalu.

“Kesemua suspek direman 28 hari mengikut peruntukan Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma. Tindakan susulan diteruskan untuk mengesan suspek yang masih bebas, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Polis turut mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan mana-mana suspek yang melarikan diri ke luar negara.

Beliau berkata polis telah lama menjejak anggota kongsi gelap terbabit yang juga antara kumpulan paling aktif melakukan jenayah seperti pengubahan wang haram, bunuh, peras ugut dan samun.

Mazlan berkata siasatan turut dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Dalam pada itu, beliau berkata polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai merosakkan bendera sebuah parti politik di Jalan Burhanuddin Helmi di Taman Tun Dr Ismail di sini.

“Kes disiasat menerusi Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya sambil menambah tiga laporan polis setakat ini diterima mengenai insiden itu, yang mana rakaman video mengenainya tular dalam media sosial. 

Advertisements