Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau tidak pernah ‘menikam belakang’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya menegur depan-depan.

Menurut Shafie, sepanjang karier politiknya sebelum ini termasuklah ketika menjawat jawatan penting di dalam UMNO dan Kabinet, beliau sesekali tidak pernah berbuat demikian selain menegaskan apa yang terjadi hanyalah disebabkan sikap keterbukaannya menegur mengenai isu 1MDB.

Shafie kini penyandang parlimen Semporna mendakwa, beliau mengadakan “pertemuan empat mata” dengan Najib di kediaman presiden Umno itu, dan menasihatinya agar “mengambil tindakan yang perlu dan betul” sebelum skandal 1MDB meletus.

“Saya beritahu dia skandal 1MDB bukan saja akan menghantui dirinya dan Umno tetapi negara secara keseluruhan. Dan sekarang seluruh dunia bercakap tentangnya.

“Adakah saya tikam belakang bukan persoalan kawan dan sahabat, (ini) persoalan negara kita yang memerlukan pentadbiran yang cekap, amanah dan memastikan supaya melindungi hak-hak rakyat di negara ini.

“Maka saya berani menegur… saya berani mencadangkan mengambil tindakan terhadap 1MDB tetapi malangnya bila saya cadangkan, saya pula diambil tindakan,” katanya.

“Selepas beliau tidak dengar nasihat itu, saya bangkitkan lagi dalam mesyuarat Kabinet. Bukan sekali, tetapi beberapa kali dan menteri lain hanya berdiam diri. Akhirnya (bekas perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bersuara dan berkata 1MDB di landasan salah.

“Saya bersuara secara berdepan, maka nak tuduh saya tikam belakang adalah suatu yang tak masuk akal. Najib seperti orang yang lemas dan berpaut pada tali,” katanya lagi.

Beliau berkata tuduhan tidak berasas seumpama itu tidak akan menyelesaikan isu 1MDB.

Mengakui Najib pernah menjadi kawan dan mentornya, Shafie berkata beliau dulu sentiasa menyokongnya ketika hadir dengan dasar yang baik untuk rakyat dan negara.

“Tetapi kawan atau tidak, saya tidak boleh terus membisu di saat negara dan parti terdedah dengan cemuhan dan keaiban,” katanya lagi.

Shafie berkata tidak akan teragak-agak untuk mengecam sesiapa yang dirasakannya melakukan kesalahan dan menyifatkan pembodek sebagai “parasit terburuk bagi sebuah negara”.

“Saya sudah buat yang terbaik untuk penduduk Semporna dan mereka mengetahuinya. Takdir saya (pada PRU ke-14) di tangan mereka dan saya tidak risau mereka khianati saya,” katanya.

Advertisements