Johor: Kecoh setelah Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kejutan istimewa apabila bayar kesemua barangan dibeli pengunjung di Aeon Mall Tebrau City semalam, pasar raya itu pula ditutup hari ini.

Menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman rasmi Facebook Aeon Mall Tebrau City pagi ini memaklumkan bahawa gedung beli-belah popular tersebut perlu ditutup buat tempoh sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

“Ke hadapan pelanggan yang dihargai. Seksyen pasar raya Aeon Mall Tebrau City di Johor Bahru ditutup pagi ini sehingga diberitahu kelak. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan,” tulis kenyataan pihak pengurusannya.

Syarikat berkenaan tidak menjelaskan punca penutupan itu, namun tular dalam kalangan pengguna media sosial pagi ini dengan gambar yang didakwa suasana pasar raya tersebut bersepah akibat tidak sempat dibeli pelanggan.

Semalam Tunku Mahkota Johor dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam tiba di pusat beli- belah itu pada sebelah petang secara spontan beramah mesra dengan ramai pengunjung yang sedang membeli pelbagai keperluan asas.

Tunku Ismail kemudian membuat pengumuman yang tidak dijangka apabila berkenan untuk membayar kesemua barangan dibeli pelanggan menerusi alat pembesar suara menyebabkan suasana tiba-tiba berubah menjadi pesta.

Ia disambut penuh gembira dan rasa teruja oleh pengunjung daripada pelbagai kaum dan kemudiannya ‘menyerbu’ pusat beli-belah di tingkat bawah berkenaan yang menempatkan pelbagai barangan keperluan asas harian itu.

Pihak pengurusan Aeon Mall Tebrau City turut memuat naik gambar kemeriahan pengunjung berbelanja ‘sakan’ dan mengesahkan baginda sudi membayar RM3,000 bagi setiap troli penuh berisi dengan barangan dibeli pelanggan.

Syarikat tersebut menerusi kenyataan dalam akaun Facebook berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada semua pengunjung bertuah dan menjunjung kasih terhadap sikap pemurah Tunku Ismail. 

Advertisements