KUALA LUMPUR – Pembinaan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bakal menyediakan sistem pengangkutan yang lebih pantas dan menjimatkan untuk memasarkan hasil perikanan dari Pantai Timur Semenanjung, kata Jabatan Perikanan.

Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Munir Mohd Nawi berkata stesen ECRL yang akan dibina di Tok Bali, Kelantan, merupakan antara bandar perikanan terpenting di Pantai Timur.

“Pembinaan ECRL dan Lebuh Raya Pantai Timur fasa dua bakal menjadikan kawasan Tok Bali sebagai pintu keluar untuk kedua-dua sistem pengangkutan tersebut.

“Dengan trend peningkatan hasil pendaratan ikan sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Pelabuhan Tok Bali yang bakal menjadi hab perikanan laut dalam, perlu mempunyai kemudahan infrastruktur lengkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata jabatan itu menjangkakan pembinaan ECRL akan merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat, khususnya di sekitar pelabuhan berkenaan, selain akses kepada pemasaran produk-produk perikanan ke pasaran di luar Kelantan.

Menerusi sistem pengangkutan yang lebih pantas dan efisien, kos pengusaha juga dijangkakan dapat dijimatkan, seterusnya menghasilkan bekalan ikan yang lebih segar dan murah untuk pengguna di bandar-bandar di Pantai Barat.

“Projek itu juga akan membangunkan dan mengembangkan lagi sektor perikanan di sepanjang rantaian nilai yang melibatkan industri hiliran dan agromakanan,” katanya.

Jabatan Perikanan turut mencadangkan supaya Pelabuhan Tok Bali dilengkapi kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti bilik sejuk beku untuk simpanan stok bekalan ikan, khususnya untuk menampung penurunan pendaratan ikan pada musim tertentu seperti tengkujuh yang menyebabkan kekurangan bekalan ikan.

“Melalui ECRL, bekalan stok ikan yang kita simpan ini dapat dipasarkan ke negeri-negeri Pantai Barat selain untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya. 

Advertisements