KUALA LUMPUR – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yakin BN akan merampas semula kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Keyakinan itu disuarakannya berdasarkan sokongan pengundi yang dilihat semakin padu terhadap BN Lembah Pantai kerana sentiasa menunjukkan prestasi baik tanpa henti walaupun tewas pada PRU13.

“Saya yakin, penduduk di Lembah Pantai mengiktiraf dan hargai BN, terutamanya usaha Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang berada di sini, sepanjang lebih 10 tahun.

“Beliau konsisten dan sentiasa membantu rakyat di sini walaupun kalah dan tidak menjadi wakil rakyat pada PRU13 lalu,” katanya pada pemberita ketika mengadakan sesi lawatan di Taman Lucky, Bangsar, di sini hari ini.

Beliau hadir ke program itu bersama Raja Nong Chik bagi meninjau kawasan dan meluangkan masa bersama penduduk di situ.

Ditanya berhubung dakwaan sokongan belia terhadap BN merosot, Khairy berkata sokongan golongan itu masih baik dan lebih terbuka.

Katanya, sokongan itu dikuatkan lagi menerusi reaksi positif yabg diterima terhadap manifesto Jaminan Orang Muda (JOM) yang dibentangkan BN.

Parlimen Lembah Pantai menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, Raja Nong Chik; calon PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan wakil PAS, Fauzi Abu Bakar.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata sokongan kaum Cina dan India Lembah Pantai terhadap BN semakin meningkat selain tiada perubahan signifikan sokongan orang Melayu.

“Mereka dakwa ‘tsunami Melayu’ melanda BN, tapi harus diingat sebenarnya, ia melanda parti pembangkang kerana pengundi PAS sudah tidak bersama mereka,”katanya.

Advertisements