KUALA LUMPUR – Tan Sri M. Kayveas menarik balik surat peletakan jawatannya yang bertarikh 23 April lalu selepas ia mendakwa surat berkenaan tidak dikemukakan kepada mesyuarat majlis tertinggi yang sah mengikut Artikel 9.9.1.4 Perlembagaan myPPP.

Kayveas turut mendakwa wujud konspirasi antara naib presiden kanan dan setiausaha perti itu untuk rampasan kuasa bagi jawatan tersebut.

Beberapa percubaan tidak sah itu dilakukan oleh sekumpulan anggota parti di lokasi rahsia di luar Ibu Pejabat Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP), yang menyalahi perlembagaan parti itu, dakwanya.

Lantaran itu, Kayveas berkata, beliau akan tetap meneruskan menyambung tugas dan kuasanya sebagai Presiden myPPP.

“Saya akan kekal dan meneruskan tugas dan kuasa mengikut presiden (mengikut artikel 9.9.1) dan membawa disiplin dan penyatuan parti 1Malaysia pada masa depan,” katanya dalam sepucuk surat kepada Ahli-Ahli Majlis Tertinggi myPPP.

Surat itu bertarikh 27 April lalu.

Kayveas telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden myPPP, Pengerusi myPPP Wilayah Persekutuan dan penasihat myPPP Perak pada 23 April lalu.

Pengumuman tersebut dibuat melalui beberapa laman media sosial miliknya, menjelang pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Pahang yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Kayveas sebelum ini terlibat dalam perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan MIC.

Kerusi panas itu kini diwakili oleh Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran.

Advertisements