HARI Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan menjelang tidak lama lagi telah dimanfaatkan sebaiknya oleh pengusaha pastri apabila menjual kek berlogo parti politik sekali gus mendapat sambutan ramai.

Menurut pengusaha kek, Wan Aziati Wan Hussin, 47, pembubaran Parlimen pada awal April lalu, menjadi batu loncatan kepada permintaan yang tinggi dari pelanggan untuk mendapatkan kek berlogo parti politik yang dibuatnya.

“Setakat ini kek parti politik yang popular ialah Barisan Nasional (BN), PAS dan PKR.

“Kebanyakan pelanggan yang membuat tempahan ini datang dari penduduk di sekitar Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat,” katanya pada akhbar tempatan.

Dengan dua jenis perisa, kek tersebut dijual dengan harga RM38 sekilogram bagi perisa vanila dan RM40 untuk perisa coklat.

Kebanyakan kek berlogo politik itu ditempah untuk program parti dan sambutan ulang tahun kelahiran.

Sehingga kini dia dan pembantu tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan dibuat oleh para pelanggan.

Wan Aziati turut melafazkan syukur atas rezekinya yang melimpah ini ketika bahang PRU 12 yang semakin hangat menjadi lonjakan kepada jualannya umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Jadi, bagi mereka yang berminat, boleh mengunjungi kedai kek Wan Aziati terletak bersebelahan Masjid Besar Bandar Pasir Mas.

Terdahulu, tudung logo parti politik mendapat sambutan apabila pemilik laman sosial yang menggunakan nama Wanny Jibril dipercayai menjalankan perniagaan bawah Chenta Watie Scarf Kuala Lumpur memuat naik gambar dan video tudung tersebut tular di media sosial. 

Advertisements