KUALA LUMPUR- Naib Presiden PKR, Tian Chua hari ini memfailkan saman pemula terhadap Pegawai Pengurusan Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menuntut deklarasi beliau layak untuk bertanding dan menjadi calon kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Saman pemula tersebut difailkan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang selaku pihak pemohon melalui peguamnya iaitu Ngeow Chow Ying dari firma guaman, Tetuan Ngeow & Tan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9.45 pagi hari ini.

Tian Chua, 55, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Batu menamakan Pegawai Pengurusan Pilihan Raya, Anwar Mohd. Zain, 56, dan SPR sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau antaranya memohon perisytiharan, dia layak menjadi calon kerusi Parlimen dalam PRU-14 mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang.

Pihak pemohon juga memohon perisytiharan, dia berhak untuk bertanding dan diterima sebagai calon kerusi Parlimen.

Sabtu lalu,Tian Chua gagal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu P115 apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana telah dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

Advertisements