KUALA LUMPUR: Penyanyi Lan Solo bersyukur, prosedur pembedahan membetulkan bibir sumbing anaknya, Nur Aman Quxandra berjalan lancar, pagi tadi.

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata prosedur yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu tidak berdepan sebarang masalah dan bayinya itu dijangka dibenarkan pulang ke rumah esok.

“Buat masa ini, Quxandra sudah ditempatkan di wad biasa. Dia masih tidur dan perlu berehat. Alhamdulillah, doktor juga memaklumkan pembedahan itu berjaya.

“Kami juga diminta datang semula ke hospital selepas seminggu bagi membuka jahitan, selain melakukan pemeriksaan terhadap kesan pembedahan,” katanya.

Terdahulu, bekas vokalis Kristal itu memaklumkan, anak keempatnya yang baru mencecah usia tiga bulan itu memasuki bilik pembedahan di sebuah pusat perubatan di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Isteri Lan, Nur Sheila Hassim melahirkan Quxandra pada 24 Februari lalu di sebuah pusat perubatan swasta, di sini.

Selain Quxandra, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 6 Disember 2009 itu turut diserikan dengan tiga cahaya mata lain, Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

Advertisements