KUALA LUMPUR – Lebih 20 pengamal media berkumpul di perkarangan Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan di sini, susulan penularan rakaman video yang mendakwa beberapa kereta mewah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disorok di parkir kondomonium mewah itu.

Tinjauan mendapati wartawan dan jurukamera memenuhi kawasan hadapan bangunan kondominium mewah itu berikutan mereka tidak dibenarkan memasuki kawasan parkir berkenaan walaupun hujan lebat.

Kenderaan Mercedes tersebut kemudian dilihat keluar pada kira-kira 8.30 malam, manakala Toyota Vellfire itu pula turut keluar meninggalkan kawasan berkenaan pada 9.50 malam.

Satu rakaman video berdurasi 24 saat tular di media sosial, mendakwa beberapa kereta mewah di parkir di kawasan letak kereta aras bawah kondominium itu milik keluarga Najib dan disorok oleh rakannya yang memiliki unit di kondominium tersebut.

Bagaimanapun tiada pasukan polis yang kelihatan membuat pemeriksaan mahupun serbuan di  kondominium mewah itu malam ini.

Menurut sumber, pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman tidak membuat sebarang serbuan di kondominium itu.

Usaha Bernama untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak polis gagal apabila pihak berkaitan tidak dapat dihubungi. 

Advertisements