Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong malam ini bagi menyelesaikan kebuntuan berhubung isu pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Ketua Umum PKR itu memberi jaminan bahawa hak orang Melayu tidak akan diabaikan meskipun individu bukan beragama Islam dilantik bagi menyandang jawatan itu.

“Tugas saya sebagai orang awam dengan sedikit pengaruh adalah untuk membincangkan (dengan Raja-raja Melayu) dan menyakinkan baginda.

“Apa yang saya sampaikan kepada baginda adalah: Dalam tempoh 60 tahun, keluarga diraja bekerjasama dengan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sekarang situasi sudah berubah. Tetapi Perlembagaan tidak berubah. Status Raja-raja Melayu tidak berubah. Hal (seperti pelantikan peguam negara) boleh dibincangkan difahami,” kata Anwar seperti dilapor The Malaysian Insight.

Selepas mendapatkan pengampunan daripada Agong, Anwar sudah mengadap tujuh sultan, termasuk Sultan Johor untuk kali kedua malam semalam.

Majlis Raja-Raja Melayu akan memutuskan mengenai pelantikan Thomas, seorang peguam kanan berpengalaman berketurunan India dan beragama Kristian, dalam mesyuarat esok.

Anwar berkata pemilihan Thomas sebagai peguam negara oleh Dr Mahathir Mohamad harus dihormati kerana kuasa prerogatif perdana menteri.

Selain patuh kepada perlembagaan, Anwar berkata Raja-raja Melayu wajar memberikan pandangan mereka.

“Tidak ada salahnya kita bincang dan akhirnya putuskan dengan baik.

“Kita tahu akhirnya keputusan perdana menteri yang menentukannya dalam sistem demokrasi berpelembagaan,.

“Agong boleh berikan pandangan dan peringatan serta menangguh sedikit agar hasrat dan mesej untuk menjaga Islam dan adat istiadat Melayu itu sampai kepada kerajaan,” katanya.

Anwar mengakui terdapat kebimbangan yang seorang peguam negara bukan Islam tidak boleh menasihati Raja-raja Melayu dalam hal  berkaitan syariah.

Advertisements