Penghakiman bagi taksiran ganti rugi itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wong Kian Kheng dalam kes saman berhubung dakwaan pelanggaran hakcipta dan cap dagangan serta campur tangan tidak sah dalam perniagaan antara Faiza Bawumi Sayed Ahmad dan anak lelakinya Fikri Abu Bakar.

Faiza Bawumi adalah Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd manakala Fikri adalah Pengarah Urusan syarikat Faiz Rice.

Dalam prosiding hari ini, beliau memerintahkan Faiz Rice dan Fikri selaku defendan membayar RM3.9 juta bagi ganti rugi jumlah pampasan, ganti rugi bagi kehilangan nama baik (goodwill) sebanyak RM100,000), ganti rugi statutori bagi hak cipta sebanyak RM60,00O dan ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM100,000.

Dalam penghakimannya, Kian Kheong berkata, terdapat pelanggaran hak cipta komersial dilakukan secara terang terangan oleh Faiz Rice dan Fikri, yang jelas menunjukkan nama baik syarikat Faiza terjejas disebabkan pelanggaran itu.

Hakim itu berkata, keterangan saksi turut menunjukkan, sejak kemasukan Faiz Rice dalam pasaran, syarikat Faiza mengalami kerugian ketara dalam masa yang singkat.

“Oleh itu, mahkamah menetapkan ganti rugi pampasan sebanyak RM3.9 juta,” katanya.

Subjek di dalam kes saman itu adalah berhubung enam hak cipta jenama beras milik Faiza iaitu TAJ MAHAL, MOGHUL FAIZA BASMATHI, FAIZA (didaftarkan atas nama plaintif Faiza TM), FAIZA RICE FOR LIFE, FAIZA EMAS dan logo FAIZA (didaftarkan atas nama plaintif Faiza Logo TM).

Plaintif mendakwa antaranya, defendan melanggar hak cipta dan cap dagangan pembungkusan beras, melakukan ‘tort kelirupaan nama’ (passing off) terhadap barangan dan perniagaannya serta campur tangan tidak sah dalam perniagaan mereka.

Kedua-dua plaintif juga mendakwa, defendan melanggar hak cipta logo Faiza TM dan secara tidak sah mencampuri urusan dagangannya dengan melanggar hak cipta logo terbabit.

Advertisements