KUALA LUMPUR: Bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad terpaksa membayar harga mahal di atas tindakan kontroversinya menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, baru-baru ini apabila hukuman penggantungannya ditambah empat tahun lagi.

Keputusan Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) itu bermakna hukuman penggantungan ke atas juara Mr Universe 10 kali berkenaan yang sepatutnya berakhir pada 22 September 2019 hanya akan berakhir pada 22 September 2023.

“Selepas mendengar penjelasan Encik Sazali Samad dalam Sidang Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping), jawatankuasa memutuskan tempoh penggantungan beliau ditambah atau dilanjutkan selama 4 tahun lagi daripada menyertai sebarang kejohanan dan aktiviti bina badan di semua peringkat sebaik saja tamat tempoh penggantungan asal (22 September 2019).

“Ini bermakna dengan penambahan tempoh hukuman ini, maka tempoh penggantungan beliau hanya akan berakhir pada 22 September 2023,” kata kenyataan media yang dikeluarkan Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) MBBF, hari ini.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) MBBF memanggil Sazali semalam yang bertujuan mendengar penjelasan susulan penyertaannya dalam Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai pada 25 hingga 28 Mei lalu.

Ini kerana Sazali bertanding ketika masih dalam tempoh penggantungan selama empat tahun (22 September 2015 hingga 22 September 2019) gara-gara positif ujian penggunaan bahan larangan jenis Anabolic Steroid hasil ujian doping yang dijalankan pada 1 September 2015.

“Merujuk Perkara 10.12.1 Kod Anti-Doping Dunia menyatakan bahawa atlet yang menjalani tempoh penggantungan tidak dibenarkan menyertai apa-apa pertandingan, kejohanan dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kod Penandatangan (Code Signatory) atau apa-apa badan yang berkaitan dengan kod berkenaan.

“Selain itu, dia juga tidak dibenarkan menyertai program yang dianjurkan menggunakan dana kerajaan (selain daripada program kesedaran dan pemulihan anti-doping yang disahkan),” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Kod Anti Doping Dunia jelas menyatakan atlet yang sedang menjalani hukuman penggantungan tidak dibenarkan menyertai acara, pertunjukan atau kejohanan yang dianjurkan oleh badan/ badan gabungan/ anjuran kerjasama Kod Penandatangan tidak kira sama ada atlet tersebut bertanding bagi pihaknya sendiri atau mewakili negara/ persatuan/ kelab.

“Semasa hadir ke Sidang Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) semalam, Sazali juga memaklumkan bahawa beliau tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana persatuan bina badan negeri atau kebangsaan lagi dan akan membawa hala tuju sendiri,” katanya.

Advertisements