KUALA LUMPUR: Penyelewengan dan rasuah menggunakan wang kerajaan adalah antara tuduhan yang bakal dikenakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan penyiasatan ke atas dana kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir memberitahu Reuters dalam temu bual bahawa pasukan penyiasat “mempunyai kes yang hampir sempurna” terhadap suspek utama yang menyeleweng dana 1MDB dan menyalahgunakan berbilion-bilion dolar dana awam.

Beliau juga menyifatkan Najib, pengasas 1MDB, memainkan peranan utama.

Selepas bersara sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003 selepas 22 tahun mentadbir, Dr Mahathir – 92 tahun – menamatkan persaraan dan menyertai pembangkang untuk menjatuhkan Najib dalam Pilihanraya Umum bulan lalu.

Berikutan kemenangannya yang luar biasa, Dr Mahathir telah membuka semula siasatan ke atas 1MDB dan pembabitan Najib dalam operasinya.

Hasil daripada penyelidikan antikleptokrasi, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mendakwa, lebih daripada AS$4.5 bilion sudah disalahgunakan daripada dana 1MDB dan kira-kira AS$700 juta itu berakhir dalam akaun bank peribadi Najib.

Dr Mahathir juga menghalang Najib dari meninggalkan Malaysia dan pihak polis sudah menjalankan operasi penggeledahan harta yang dikaitkan dengannya manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyoal siasat Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib secara konsisten menafikan salah laku dan mengulangi minggu lalu bahawa dia tidak mengambil wang dari 1MDB.

Jurucakap Najib tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Dr Mahathir berkata, penyiasat sedang mencari “beberapa pertuduhan” terhadap Najib dan tuduhan itu akan berdasarkan penyalahgunaan kuasa ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Mereka boleh menggunakan pertuduhan seperti “penggelapan, mencuri duit kerajaan, kehilangan wang kerajaan dan sebilangan caj lain dan menggunakan wang kerajaan untuk sogokan,” katanya.

Mahathir berkata Rosmah juga sedang disiasat berkaitan dengan 1MDB.

“Ada wang yang diyakini telah pergi kepadanya (Rosmah), banyak wang,” kata Dr Mahathir.

“Kami tahu tentang perkara ini, tetapi untuk menjejaknya agak sukar kerana beliau (Rosmah) tidak menandatangani apa-apa kertas.

“Najib menandatangani banyak kertas,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau menjangka pihak berkuasa akan membuat tangkapan pertama dalam kes 1MDB dalam tempoh beberapa bulan lagi dan perbicaraan bakal bermula menjelang akhir tahun ini.

“Kami sedang bekerja keras sepantas mungkin.

“Kami rasa, kami sudah mempunyai kes yang hampir sempurna,” katanya.

Diminta menamakan sasaran kes itu, katanya, Najib, Jho Low dan beberapa yang lain.

Low adalah pembiaya Malaysia, yang juga dilihat sebagai tokoh utama dalam skandal 1MDB.

Dia dianggap rapat dengan Najib dan keluarganya.

Peguam Low tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Dr Mahathir berkata:

“Apabila kita pergi ke mahkamah, kita akan mempunyai keterangan yang jelas tentang salah laku, kita (kerajaan) tidak boleh kalah.” – Reuters

Advertisements