KUALA LUMPUR – Debat yang dinantikan oleh orang ramai antara dua calon Presiden UMNO iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin telah dijadualkan pada 29 Jun ini.

Debat berkenaan akan berlangsung sehari sebelum tarikh pemilihan parti bagi jawatan tertinggi parti itu dan akan bersiaran secara langung dari saluran berita Astro Awani.

Jelas laporan dari portal saluran berkenaan, pegawai kepada kedua-dua tokoh politik itu telah menyatakan persetujuan untuk hadir di program ‘Debat Presiden UMNO’ sempena pemilihan UMNO pada 30 Jun.

Program tersebut dijangka berlangsung selama satu jam dan turut akan disiarkan secara langung di platform media sosial Astro Awani seperti di laman Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun, saluran itu turut mendedahkan bahawa mereka masih menunggu jawapan daripada pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada ingin terlibat dalam program tersebut.

“Siapa pemimpin yang akan UMNO sebagai parti tunjang Melayu ini ketengahkan untuk menyaingi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilhan Raya Umum ke-15?” menurut pengumuman di media sosial Astro Awani.

Dalam pada itu, orang ramai juga dialu-alukan untuk mengemukakan soalan kepada Tengku Razaleigh dan juga Khairy dalam sesi debat itu menggunakan tanda pagar #Debat Awani.

Semalam, Khairy yang merupakan Ketua Pemuda UMNO dalam sidang medianya mengumumkan bersedia untuk menyahut cabaran Tengku Razaleigh untuk berdebat pada bila-bila masa.

Terdahulu, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Li mencabar dua pesaingnya untuk jawatan Presiden UMNO untuk berdebat dan mengisytiharkan harta masing-masing.

Setakat ini, hanya Ahmad Zahid yang masih belum memberikan kata putus mengenai pendiriannya dalam cadangan debat yang dibangkitkan Ku Li itu.

Perdebatan bagi calon Presiden UMNO ini mendapat perhatian menggalakkan dari seluruh rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan perubahan dalam tampuk pemerintahan UMNO.

Justeru, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo juga mengakui kementeriannya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyiarkan debat berkenaan secara langsung di RTM. 

Advertisements