Luis Suarez mencatat sejarah pada aksi ke-100 dirinya bersama-sama Uruguay apabila membawa negara itu ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2018 di Rusia.

Penyerang sensasi Amerika Latin tersebut memanfaatkan kepincangan penjaga gol lawan untuk menyingkirkan Arab Saudi dengan kemenangan 1-0 awal di Rostov-on-Don pagi ini.

Suarez menjaringkan gol pada pertengahan babak pertama selepas penjaga gol Mohammed Al-Owais gagal menangkap kemas bola hasil sepakan sudut.

Jaringan itu meletakkan Uruguay di tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata di belakang tuan rumah Rusia.

Arab Saudi yang tidak pernah memenangi perlawanan Piala Dunia sejak penampilan sulung pada 1994, gagal meraih sebarang mata seperti juga Mesir yang tewas 1-3 kepada Rusia semalam.

Bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir kumpulan berdepan Rusia, Uruguay akan menentang sama ada Sepanyol, Portugal atau Iran yang masih berjuang dalam Kumpulan B untuk tiket ke suku akhir.

Ia bukan jaringan terbaik Suarez tetapi memadai untuk kemenangan selesa.

“Apa yang kami mahukan adalah kemenangan dan layak ke pusingan berikutnya. Hari ini satu lagi bukti bahawa sukar untuk menang perlawanan Piala Dunia,” kata Suarez yang juga pemain terbaik perlawanan itu.

“Piala Dunia membuktikan apa yang lebih penting adalah keputusan, kami berbangga dapat mara ke kelompok 16 terakhir buat kali ketiga berturut-turut.”

Sekurang-kurangnya Suarez yang gagal menyempurnakan tiga peluang buat Uruguay ketika menewaskan Mesir 1-0, masih boleh berbangga dengan gol antarabangsa ke-52 biarpun tidak menolak kemungkinan dirinya tidak 100 peratus cergas.

Selepas dibelasah Rusia 5-0 pada perlawanan pembukaan, Arab Saudi tampil lebih mantap namun masih gagal memberikan saingan hebat di Rostov Arena. – AFP

Advertisements