KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran menyatakan pengumuman mengenai arahan menggunakan khidmat tukang masak tempatan di restoran hanyalah satu cadangan.

Memetik laporan The Malaysian Insight, beliau berkata, perkara tersebut masih memerlukan perbincangan dengan semua pihak berkaitan dan keputusan muktamad mengenai perkara itu masih belum dibuat.

“Belum ada keputusan lagi. Kita perlu berbincang dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Kenyataan Kulasegaran semalam dikritik di media sosial sehingga ada yang menggelar beliau ‘xenophobic’ atau rasis selepas media melaporkan beliau meminta semua restoran di negara ini mengupah tukang masak tempatan  mulai 1 Januari tahun depan.

Pengumuman Kulasegaran itu mendapat reaksi negatif persatuan pengusaha restoran seperti Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma).

Ia turut mengejutkan pengusaha restoran lain kerana menurut mereka arahan itu akan meningkatkan kos serta tukang masak tempatan kurang pengalaman dan pengetahuan mengenai resipi masakan tertentu di samping permintaan gaji yang tinggi.

Kulasegaran berkata, cadangan itu hanya akan melibatkan restoran tempatan seperti penjaja, restoran mamak dan kedai kopi, yang dianggap sebagai kedai makan tempatan dan tenaga kerja di dapur harus hanya melibatkan rakyat Malaysia.

“Ia hanya terpakai kepada restoran Malaysia seperti gerai-gerai, bukan restoran luar. Kita harap ia dapat dilaksanakan.

“Kalau di restoran Perancis, mereka tak ambil pekerja tempatan. Sudah tentu mereka perlu mengupah orang yang mahir dengan masakan mereka,” katanya.

Jelasnya, cadangan itu selari dengan manifesto Pakatan Harapan yang mahu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Advertisements