KUALA LUMPUR: TRX City Sdn Bhd (TRXC) membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers berhubung pemindahan dana syarikat itu kepada syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan hari ini, laporan dibuat pada Jumaat lalu.

“Pemindahan ini dibuat berdasarkan arahan 1MDB dan dialihkan dari kegunaannya yang digunakan untuk projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

“Sebanyak RM3 bilion dipindahkan dari TRXC kepada 1MDB antara pertengahan 2012 hingga awal 2017, ketika entiti itu adalah anak syarikat 1MDB dengan pemahaman bahawa ia akan dibayar balik kepada TRXC.

“Justeru, satu laporan polis dibuat selepas pengumuman oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika sidang akhbar di Putrajaya minggu lalu. Oleh yang demikian, TRXC akan memberi kerjasama penuh kepada PDRM,” katanya.

Hari ini, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua membidas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa tiada dana untuk projek TRX yang diselewengkan oleh 1MDB selaku syarikat induk TRXC

Pua yang juga pegawai khas Kementerian Kewangan berkata, Najib tidak sepatutnya berpura-pura tidak tahu dengan menunding jari menyalahkan pengarah atau pengurusan syarikat pelaburan berkenaan.

“Beliau (Najib) tidak boleh dari satu segi, berpura-pura tidak tahu dan menyalahkan pengarah atau pengurusan syarikat.

“Tetapi pada masa yang sama, Najib menunjukkan bahawa beliau faham mengenai urusniaga yang berlaku dalam 1MDB, meskipun mengelirukan dan melakukan penipuan,” katanya.

Advertisements