Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu merunding semula terma perjanjian air yang dimeterai antara Malaysia dengan Singapura berikutan harga semasa jualan air ke republik itu pada harga 3 sen bagi seribu galon disifatkan “tidak masuk akal”.

“Saya fikir adalah tidak masuk akal bagi kita menjual air pada harga 3 sen bagi setiap seribu galon. Mungkin harga itu berpatutan pada tahun 1990an atau 1930. Tetapi sekarang apa yang boleh kamu beli dengan 3 sen?

“Kita sedang kaji kes itu dengan betul dan akan membuat pembentangan,” katanya kepada Channel NewsAsia.

Mengikut perjanjian terma itu yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan Singapura dengan 250 juta gelen air mentah setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudian membeli semula sebahagian daripada bekalan itu pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai isu harga air dalam temubual dengan Bloomberg Television yang disiarkan awal hari ini.

“Air adalah antara isu dengan Singapura yang perlu kita selesaikan dan kita akan duduk serta berbincang dengan mereka, dengan cara orang beradab,” katanya.

Ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun untuk kali pertama dari 1981 hingga 2003, beliau bagaimanapun tidak berbalah dengan Singapura mengenai masalah air dan tanah.

Singapura bergantung kepada Malaysia bagi hampir separuh daripada keperluan airnya melalui beberapa siri perjanjian, yang pertama dimeterai pada tahun 1927.

Januari lalu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengeluarkan kenyataan bersama yang mengesahkan terma perjanjian air semasa.

Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean pada Mac tahun lalu, berkata, Singapura harus bersiap sedia menghadapi masalah kekurangan air jika empangannya mula kering dan apabila perjanjian air dengan Malaysia berakhir pada tahun 2061.

Advertisements