KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengakui menerima panggilan untuk menghadiri istiadat angkat sumpah di Istana Negara, 2 Julai ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, beliau sebelum ini ada terdengar berita namanya tersenarai dalam Kabinet baharu yang akan diumumkan minggu depan, namun perkara itu sehingga kini tidak dapat disahkan.

“Saya belum terima surat jemputan rasmi setakat ini, namun sudah menerima panggilan untuk menghadiri istiadat berkenaan.

“Ia adalah jemputan secara am dan tiada hitam putih lagi. Jadi, saya belum tahu dilantik jadi menteri atau tidak,” katanya.

Ahli Parlimen Penampang yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Darell Leiking pula mengesahkan Perdana Menteri ada menghubungi beliau namun tidak memberitahu maklumat lanjut mengenainya.

“Sukar bagi saya untuk mengesahkan apa-apa maklumat atau khabar angin. Jika perkara itu benar, ia sesuatu yang baik untuk Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

Difahamkan, jika benar Darell dilantik ke jawatan itu, beliau akan menjadi Menteri Perdagangan dan Industri yang pertama berasal dari Sabah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Annuar Tahir, yang juga Ahli Parlimen Temerloh enggan mengesahkan nama beliau tersenarai sebagai Menteri tetapi mengakui beberapa pemimpin daripada parti itu sudah dimaklumkan berhubung pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri.

“Saya tidak dapat mengesahkan nama ada dalam senarai Kabinet walaupun beberapa kali nama saya dikaitkan dengan beberapa kementerian,” katanya.

Difahamkan, nama beliau disenaraikan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

Anuar mengesahkan PPBM menghantar lima nama untuk dilantik dalam Kabinet termasuk nama beliau.

Advertisements