PUTRAJAYA: Pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, yang ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher, Sabtu lalu, tidak dilindungi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata semakan agensi berkenaan mendapati Grab Malaysia tidak mendaftarkan mangsa sebagai pencarum PERKESO.

“Saya bersimpati dengan keluarga mangsa kerana kejadian ini amat mendukacitakan.

“Mangsa tidak mendapat sebarang faedah bawah skim PERKESO kerana tiada berdaftar walaupun meninggal dunia ketika bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Commuting Accident and Road Safety Seminar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PERKESO, Tan Sri Dr Aseh Che Mat, dan Ketua Pegawai Eksekutif agensi berkenaan, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mayat Aiman ditemui terlungkup di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi miliknya di Taman Selayang Makmur, Selayang, Kuala Lumpur, pada jam 8.20 malam Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Tey Kong Seng, dilaporkan sebagai berkata terdahulu anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang meronda di Pondok Selayang Baru, diminta bapa tiri mangsa supaya melakukan pemeriksaan di dalam kereta berkenaan di parkir kawasan itu.

Sebaik tiba di lokasi itu, anggota berkenaan menemui mangsa di tempat duduk belakang kereta terbabit dalam keadaan kepalanya di bawah mengenai lantai kenderaan berkenaan, manakala kaki pula di atas.

Berikutan itu, pegawai perubatan dari Hospital Selayang dipanggil ke lokasi dan mengesahkan mangsa yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, sudah meninggal dunia.

Berdasarkan rekod, mangsa dikatakan kali terakhir membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock menuju ke Selayang Baru pada jam 9.34 malam Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, semakan PERKESO turut mendapati hingga April lalu, hanya kira-kira 4,231 daripada 90,000 pemandu teksi dan e-hailing yang mencarum dengan PERKESO.

“Kes Aiman ini menunjukkan perlunya kesedaran dan tanggungjawab pihak majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka.

“Undang-undang negara mewajibkan semua majikan membuat caruman PERKESO bagi menjamin kebajikan setiap pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman pula berkata, pihaknya sudah beberapa kali menghantar permohonan bagi mengadakan pertemuan dengan pengusaha e-hailing, termasuk Grab, untuk membincangkan soal caruman pekerja.

“Bagaimanapun, Grab sudah dua kali menangguhkan pertemuan itu. Namun dengan kes terbaru ini, kita berharap pertemuan dapat diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu berhubung cadangan mengambil tukang masak tempatan di restoran pula, Kulasegaran berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan dialog dengan mana-mana pihak.

“Hingga kini, pihak saya belum menerima sebarang surat jemputan bagi membincangkan cadangan itu,” katanya.

Advertisements