TAWAU – Gabungan Persatuan-Persatuan Teksi, Kereta Sewa, Limousin Sabah dan Labuan menggesa kerajaan agar mengenakan syarat sama kepada pemandu GrabCar, kata Pengerusinya Tamrin Eraba.

Menurutnya, selama ini pemandu teksi, kereta sewa dan limousin dikenakan pelbagai syarat dan peraturan seperti mendapatkan lesen memandu khas, permit, insurans penumpang serta ujian Puspakom sebelum diluluskan beroperasi.

“Anggota gabungan tidak menghalang GrabCar beroperasi di mana-mana yang penting mereka (pemandu GrabCar) juga perlu dikenakan syarat sama seperti kami (anggota gabungan).

“Kewujudan aplikasi GrabCar di Sabah ini juga memberi persaingan baharu kepada pemandu teksi dan lain-lain,” katanya kepada Bernama di sini.

Tamrin dalam pada itu berkata semua anggota gabungan persatuan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan supaya kekal relevan dan bersaingan secara sihat dengan pemandu GrabCar.

“Saya juga akan berbincang dengan anggota gabungan mengenai pengurangan tambang dan bersaing secara sihat dengan GrabCar,” katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam di sini Ismail Ali, 59, berkata GrabCar menjadi pilihan ekoran tambang lebih murah yang ditawarkan berbanding menaiki teksi.

“Sebagai contoh, caj perjalanan dikenakan teksi Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke pusat bandar RM30 tetapi GrabCar hanya RM10,” katanya.

Advertisements