Ketika Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengumumkan beg tangan paling mahal yang dirampas daripada kediaman dikaitkan Datuk Seri Najib ialah jenama “Bijan” bernilai RM1.6 juta, ramai wartawan cuba “google” jenama itu kerana baru pertama kali mendengar jenama berkenaan.

Malah, ada yang berjenaka menyatakan mungkinkah “Bijan” adalah jenama Datuk Seri Najib kerana jika perkataan “Bijan” diterbalikkan ia adalah “Najib”.

Jenama mewah “Bijan” sebenarnya tidak asing lagi dalam kalangan elit dan mereka yang sangat kaya.

Setanding dengan jenama Hermes Birkin, yang menjual beg tangan lebih RM1 juta, jenama “Bijan” dikatakan lebih eksklusif.

“The House of Bijan” yang terletak di Beverly Hill, California, Amerika Syarikat diklasifikasikan sebagai gedung paling mahal di dunia.

Jenama itu diasaskan oleh pereka Iran, Bijan Pakzad pada tahun 1976.

Beliau berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1973 sebelum menubuhkan butik eksklusif “The House of Bijan”.

Gedung mewah itu dikatakan memiliki pelanggan berkelas tinggi, antaranya bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, George dan George W. Bush, Bill Clinton, kerabat diraja termasuk Prince Charles dan selebriti seperti Pierce Brosnan, Arnold Schwarzenegger, Hugh Hefner dan Monaco’s Prince Rainier.

Pelanggan perlu membuat temujanji sebelum dapat membeli barangan daripada “The House of Bijan.”

Selain beg tangan, “The House of Bijan” turut menjual minyak wangi, aksesori dan pakaian kebanyakannya untuk lelaki.

Justeru, timbul persoalan mungkinkah beg tangan “Bijan” bernilai RM1.6 juta adalah milik Datuk Seri Najib sendiri dan bukan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor?

Disebabkan polis tidak menunjukkan foto beg tangan “Bijan” yang dirampas itu, ia masih menjadi tanda tanya.

Namun, ramai yang masih beranggapan beg tangan “Bijan” paling mahal itu adalah milik Datin Seri Rosmah selain koleksi beg tangan jenama mewah yang lain.

Advertisements