MELAKA – Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu memohon kepimpinan tertinggi UMNO pusat membatalkan kelayakan Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Idris Haron untuk mempertahankan jawatan berkenaan kerana didakwa menggunakan ‘pengaruh wang’ bagi meraih sokongan perwakilan dalam sesi pemilihan UMNO bahagian 30 Jun ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata Idris didakwa menawarkan elaun RM1,000 setiap bulan dan seekor lembu korban setiap tahun untuk satu cawangan yang menyokongnya dalam manifesto bekas Ketua Menteri Melaka itu dalam usaha mempertahankan jawatannya.

Beliau berkata tawaran berkenaan dikesan tersebar melalui WhatsApp sejak seminggu lepas dan diuar-uarkan beliau dalam kempen yang dilakukan Idris sehingga ia menjadi buah mulut dalam kalangan perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu.

“Perbuatan ini adalah salah laku calon yang bertanding menggunakan sogokan kewangan dan ia salah kerana melanggar Perlembagaan UMNO Perkara 5 iaitu salah laku dibaca bersama Perkara 5.1.1 dan Perkara 5.1.2 yang amat jelas menyatakan bahawa ahli parti dilarang melakukan perkara melibatkan kewangan dalam proses pemilihan.

“Selain itu, ia satu tingkah laku yang tidak baik dilakukan seorang ketua bahagian lebih-lebih lagi apabila beliau mendakwa dirinya telah menjadi ketua bahagian selama 10 tahun dan sepatutnya faham mengenai peraturan dalam pemilihan yang diibaratkan pertandingan keluarga,” katanya pada persidangan akhbar di sini, malam tadi.

Turut hadir Naib Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Sazali Muhamad Din dan Anggota Jawatankuasa UMNO bahagian berkenaan yang juga pencabar Idris bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata pemohonan itu akan dibuat menerusi surat bantahan yang ditandatangani 19 daripada 30 Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu yang akan dihantar bersama bukti yang telah dikumpul kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Mengenai dakwaan Idris bahawa terdapat konspirasi terancang untuk menjatuhkan karier politiknya, Abu Bakar berkata, tindakan yang diusulkan atau dilakukan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu adalah berasas kerana ia berdasarkan pencapaian dan keputusan yang dibuat Idris sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu yang dilihat memberi impak besar kepada kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau (Idris) seorang ketua bahagian yang berpengalaman dan sudah tentu tahu dan faham bahawa proses pemilihan setiap pertandingan akan ada (pemimpin) yang dijatuhkan atau dinaikkan. Dalam keadaan ini sudah tentu kita ingin menjatuhkannya kerana beliau mempunyai salah laku dan menyebabkan UMNO Tangga Batu dan Melaka menerima kekalahan besar pada PRU14.

Abu Bakar berkata tanggungjawab itu perlu digalas Idris sepenuhnya kerana semua keputusan berhubung PRU14 termasuk pemilihan calon khususnya di bahagian Tangga Batu diputuskan sendiri tanpa perbincangan dengan anggota jawatankuasa bahagian selain sehingga kini tiada perbincangan atau mesyuarat dilakukan bersama perwakilan atau anggota jawatankuasa begi mengenal pasti punca kekalahan untuk tujuan membetulkan kesalahan itu.

Advertisements