MOSCOW – Pengendali Brazil, Tite menganggap Brazil tidak seharusnya meletakkan harapan sepenuhnya di bahu Neymar dan pada masa sama memanggil skuad Selecao supaya mengawal emosi apabila turun bertemu Serbia, awal pagi esok.

Brazil hanya memerlukan satu mata daripada aksi terakhir kumpulan bagi menjamin tiket ke peringkat kalah mati, manakala kemenangan akan meletakkan mereka sebagai juara Kumpulan E.

Walaupun baharu kembali daripada kecederaan panjang, bintang termahal dunia itu muncul selaku nadi utama Brazil yang terdesak untuk memenangi Piala Dunia.

Namun, dia tampak dalam keadaan tertekan ekoran menjadi mangsa kritikan peminat dengan mengalirkan air mata sebaik menjaringkan gol ketika mengatasi Costa Rica 2-0 Jumaat lalu.

“Neymar masih dalam proses pemulihan,” tegas Tite, yang menjelaskan penyerang berusia 26 tahun itu memerlukan masa untuk menemui kembali prestasi terbaik.

Sebelum ini, Neymar terpaksa berehat selama tiga bulan kerana mengalami kecederaan keretakan kaki semasa aksi Ligue 1 buat Paris Saint-Germain (PSG).

“Dia adalah pemain istimewa, tetapi jika dia berada dalam keadaan terbaik tidak mungkin prestasinya menjadi sebegini.

“Ini adalah evolusi, jika anda melihat pada statistiknya untuk dua perlawanan terakhir, dia menampakkan peningkatan. Mungkin dia akan mencapai tahap terbaik pada aksi seterusnya.”

Dengan kali terakhir Brazil menjulang Piala Dunia pada edisi 2002, penyokong negara itu kini pastinya menginginkan trofi berkenaan.

Bagaimanapun, gergasi Amerika Selatan itu masih gagal mencapai tahap terbaik di Russia apabila sekadar terikat 1-1 dengan Switzerland sebelum memerlukan dua gol lewat permainan untuk mengetepikan Costa Rica.

Neymar menangis selepas menjaringkan gol kedua Brazil pada minit ke-97 di Saint Petersburg, tetapi Tite memberi amaran kepada pemberita supaya tidak terus memainkan isu terbabit.

Advertisements