JAKARTA – Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali ditutup berikutan abu gunung berapi daripada Gunung Agung yang meletus pada Khamis.

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, penutupan lapangan terbang itu bermula awal Jumaat, selepas laporan seorang juruterbang yang mengesan abu gunung berapi setinggi 23,000 kaki setelah Gunung Agung meletus.

Letusan Gunung Agung di timur Bali pada Khamis menyebabkan sekurang-kurangnya 48 penerbangan dibatalkan, termasuk yang dikendalikan oleh AirAsia yang berpangkalan di Malaysia dan syarikat penerbangan Australia, JetStar.

Keadaan itu menjejaskan lebih 8,000 penumpang, menurut laporan media dalam talian.

Gunung Agung kembali aktif tahun lepas dan meletus pada November, menyebabkan gangguan perjalanan dan menjejaskan industri pelancongan di Bali.

Letusan besar Gunung Agung yang terakhir adalah pada 1963, mengorbankan kira-kira 1,600 orang. 

Advertisements