KUALA LUMPUR : Sehingga jam 11 pagi tadi, calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin mencatat undi tertinggi iaitu 71 peratus diikuti Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 24 peratus dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lima peratus.

Bekas Ketua Pemuda yang juga Ahli Parlimen Rembau itu bersaing dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahmad Zahid selaku Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden.

Undian atas talian yang dijalankan itu menerima lebih 2,000 undian.

Jawatan timbalan presiden, menyaksikan persaingan antara Ahli MT, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh calon lagi bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Seramai 106 calon pula akan bertanding merebut 25 jawatan sebagai ahli MT. Perwakilan pada mesyuarat hari ini juga akan melakukan pengundian bagi memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian.

Keputusan pemilihan jawatan tertinggi peringkat pusat dijangka diperoleh dan diumumkan pada sebelah malam oleh Ibu Pejabat UMNO, manakala keputusan peringkat Bahagian akan diumumkan Pengerusi Tetap Bahagian.

Sebelum ini, beberapa keputusan peringkat bahagian membabitkan jawatan Ketua Bahagian sudah diumumkan kerana tiada pertandingan antaranya termasuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Sabtu lalu, jawatan Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada pemilihan UMNO 2018 masing-masing dimenangi Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Dr Noraini Ahmad serta Datuk Zahida Zarik Khan, sempena mesyuarat perwakilan selain pemilihan bagi sayap berkenaan.

Advertisements