“Walaupun ramai yang marahkan saya, namun saya tidak mahu bercerai selagi Abe mahukan saya dan saya sendiri sayangkannya,” kata kanak-kanak 11 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu.

Itu luahan Ayu yang kini menjadi isteri ketiga kepada Che Abdul Karim Che Hamid, 41, yang juga seorang peraih getah berusia 41 tahun di Kampung Panggung Lalat, di sini.

Ayu berkata, dia berkahwin dengan suaminya pada Aidilfitri keempat iaitu 18 Jun lalu dan dia dibawa oleh kedua ibu bapanya ke Selatan Thailand untuk berkahwin.

“Sebelum Aidilfitri, mak ayah bertanyakan saya hajat Abe mahu berkahwin dengan saya. Saya terima kerana saya sendiri sudah sayangkannya.

“Saya tahu saya masih muda dan tidak bersekolah….saya sudah lama kenal dengan Abe, anak Abe juga rakan saya di kampung.

“Saya sayangkan Abe kerana Abe seorang yang baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Sementara itu, bapanya, Mat Rashid Rimadsa, 49, berkata sudah 20 tahun mereka tinggal di Gua Musang dan bekerja sebagai penoreh getah.

Katanya, hasil getah yang diperoleh ada kalanya dijual kepada lelaki yang kini menjadi menantunya.

“Seminggu sebelum raya, menantu saya datang menyampaikan hajat untuk berkahwin dengan anak bongsu saya dan sekiranya saya bersetuju, majlis pernikahan akan dibuat di Thailand pada hari raya keempat.

“Pada mulanya saya memang terkejut kerana anak masih muda, namun menantu saya memaklumkan dia kasihan kepada kami sekeluarga yang hidup susah dan berjanji akan memberi kehidupan lebih selesa selepas berkahwin dengan Ayu.

“Malah, menantu juga memaklumkan dia hanya akan menjalani kehidupan suami isteri, mendaftarkan perkahwinan dan mengambil anak saya tinggal bersama lima tahun lagi, menyebabkan saya terima lamaran itu,” katanya.

Mat Rashid berkata, perkahwinan anaknya kini menjadi bualan mulut orang ramai, namun anaknya tidak tertekan dan sedih, sebaliknya masih mampu keluar rumah.

“Apa yang berlaku selepas ini saya serahkan kepada menantu saya untuk menguruskannya. Saya sudah lama kenal dengan menantu kerana sebelum ini kami sekeluarga menyewa di sebelah rumah isteri pertama menantu saya.

“Anak saya juga berkawan baik dengan anak menantu saya bersama isteri pertama. Sebelum ini, ketika menantu saya bercuti ke mana-mana, mereka juga akan membawa anak saya bersama.

“Jadi, soal bercerai atau perkahwinan tidak diterima madu anak saya, biarlah menantu saya yang uruskan kerana kami orang miskin,” katanya.

Advertisements