Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata isu perkahwinan kanak-kanak harus dilihat daripada semua aspek yang mungkin menyumbang ke arah berlakunya perkara itu berlaku sebelum kes seumpama itu tidak lagi berlaku pada masa depan.

“Kita kena bincang dan tangani masalah ini dari banyak aspek, adakah aspek kemiskinan, pendidikan, kekeluargaan dan masalah sekitarnya (yang menyumbang ke arah perkahwinan).

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian bagi mengulas tindakan seorang lelaki berusia 41 tahun mengahwini kanak-kanak yang 30 tahun lebih muda daripadanya di Kelantan yang tular di media sosial sejak semalam.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata, pihaknya sudah membuat siasatan berhubung kes terbabit termasuk mengambil rujukan mengikut Akta Kanak-kanak yang termaktub di bawah undang-undang kerajaan negeri.

“Pegawai saya sudah pergi ke rumah kanak-kanak itu dan berjumpa dengan ibu mangsa namun kita mesti menguatkan lagi penyiasatan kerana Akta Kanak-kanak adalah di bawah kerajaan negeri jadi kita kena mengambil rujukan dari situ, ” katanya.

Advertisements