KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar parti itu kerana menyifatkan UMNO sudah tergelincir dari landasan asal sehingga ditolak orang Melayu sendiri.

Beliau berkata, kepemimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat sudah menolak parti itu, sebaliknya beranggapan UMNO hanya mangsa kebencian terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semata-mata.

“Semalam adalah titik tolak bagi menentukan hala tuju parti, namun kita dapat menilai reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli yang masih dalam sindrom penafian.

“Pemulihan apakah ini, sekiranya virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, beliau akan berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas.

Katanya, beliau sekali gus akan menegur serta menasihati kerajaan berdasarkan prinsip ‘semak dan imbang’ tanpa terikat dengan etika Ahli Parlimen yang mewakili sesebuah parti.

“Saya akan terus menjaga hal ehwal kebajikan dan pembangunan serta menyuarakan hak yang sewajarnya dinikmati rakyat Malaysia.

“Berbekalkan pengalaman sebagai bekas peguam, saya berharap dapat melakukan yang terbaik bagi memastikan badan eksekutif dipantau Parlimen efektif,” katanya.

Pada pemilihan UMNO semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus mendapat kepercayaan dan keyakinan ahli apabila diberi mandat sebagai Presiden UMNO baharu bagi tempoh 2018-2021.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berjaya memperoleh 78 undi bagi mengetepikan dua pencabar terdekatnya, iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meraih 53 undi, dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (28 undi).

Advertisements