SHAH ALAM: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bebas untuk ke luar negara pada masa kini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, buat masa ini, nama Ahmad Zahid tidak termasuk dalam senarai nama yang dikenakan sekatan tersebut.

Katanya, pihaknya juga tidak mendapat sebarang permintaan daripada mana-mana pihak termasuk SPRM untuk menyenaraihitam nama Presiden UMNO itu dari ke luar negara.

Mustafar berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagaimanapun akan mengambil tindakan tersebut sekiranya ada permintaan.

Semalam, media melaporkan tentang seorang pemimpin tertinggi UMNO, yang juga bekas menteri kanan dalam Kabinet Najib akan dipanggil dalam tempoh terdekat berkaitan kes penyelewengan wang milik sebuah yayasan.

Sumber yang boleh dipercayai memberitahu Sinar Harian, siasatan dijalankan SPRM sejak awal tahun ini mendapati seorang daripada pemimpin tinggi UMNO menyalahgunakan wang sebuah yayasan, di mana  beliau menjadi pengerusi.

Beliau disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan tersebut untuk membayar kad kredit miliknya dan isterinya.

SPRM dipercayai berjaya mengesan beberapa dokumen yang mencatat maklumat transaksi pembayaran untuk diri dan isteri pemimpin itu.

Penyalahgunaan wang yayasan tersebut bermula pada 2014 lagi.

Pada 2014 dan 2015 beliau didakwa menyalah guna kira-kira RM800,000 dan pada 2016 pula kira-kira RM55,000 untuk isterinya.

Advertisements