PETALING JAYA: Seorang ejen insurans dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Isnin atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan seorang pelajar kolej yang dikenalinya melalui laman sosial Instagram (IG), pada Hari Raya kedua yang lalu.

Fadhil Qayyum Muhammad Rasul, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Bagi semua pertuduhan lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita berusia 25 tahun itu di tiga lokasi berlainan iaitu di sebuah panggung wayang di Damansara, di tempat parkir sebuah kafe dan di dalam kenderaan milik lelaki itu di sekitar Jalan SS22/25, di sini antara 10 malam hingga 3 pagi, 16 dan 17 Jun lalu.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia tidak mampu membayar jumlah tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes.

Advertisements