KUALA LUMPUR: Beberapa kenderaan menteri dan hakim dilihat mula memasuki Istana Negara dekat Jalan Duta melalui pintu dua sempena istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang dijadualkan hari ini.

Terdahulu, kelihatan beberapa kenderaan yang dipercayai dinaiki oleh Ahli Parlimen, memasuki istana bagi menghadiri istiadat angkat sumpah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri yang dijadual berlangsung kira-kira jam 11 pagi ini.

Sebelum majlis angkat sumpah berlangsung, Ahli Parlimen berkenaan difahamkan menghadiri sesi raptai terlebih dulu, yang bermula jam 9 pagi tadi.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak istana baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, sudah menerima senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet pada 20 Jun lalu.

Kenyataan itu menyebut, senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan dikembalikan semula kepada Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun lalu.

Sebelum ini, 13 Menteri Kabinet sudah mengangkat sumpah dan dengan baki Menteri dan Timbalan Menteri yang akan mengangkat sumpah pada pagi ini, Kabinet dijangka mempunyai 26 Menteri dan 23 Timbalan Menteri, jika berpandukan kepada senarai nama yang tersebar di media sosial. 

Advertisements