KUALA LUMPUR: Perdana Menteri sudah mempunyai nama bagi mengisi jawatan Ketua Hakim negara yang baharu dan akan mengumumkannya selepas Tun Md Raus Sharif bersara secara pilihan 31 Julai ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sudah mengenal pasti individu bagi menggantikan Md Raus, namun enggan mendedahkannya sehingga akhir bulan ini.

“Dia (Md Raus) pergi cuti tapi hujung Julai ini dia akan bersara secara pilihan. Pada masa itu, kita akan tentukan siapa gantikan dia.

“Nama sudah ada tapi saya tak boleh bagi tahu pada kamu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara mengangkat sumpah bagi jawatan 13 Menteri dan 23 Timbalan Menteri di Istana Negara, di sini, hari ini.

Pada 13 Jun lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, dalam satu kenyataan memberitahu, Md Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Julai depan.

Kenyataan itu berkata, peletakan jawatan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Urusan Diraja, Istana Negara.

Isu membabitkan dua hakim kanan itu menjadi polemik selepas Pejabat Perdana Menteri (kerajaan terdahulu) menerusi kenyataan pada 7 Julai tahun lalu, mengumumkan pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 4 Ogos tahun sama mengikut Fasal 1(A) Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.

Seiring pengumuman itu, Md Raus dilantik menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bermula tarikh berkenaan untuk tempoh sama.

Melalui pengumuman sama, Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun bermula 28 September tahun lalu mengikut Fasal 1(A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, beberapa pihak, termasuk ahli politik, peguam dan Majlis Peguam, membuat bantahan atas alasan lanjutan tempoh terbabit bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan seseorang hakim wajib bersara selepas berusia 66 tahun enam bulan.

Ketika itu, Pakatan Harapan (PH) turut menyerahkan petisyen berhubung pelantikan Md Raus kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara supaya membuat rujukan permasalahan Perlembagaan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan.

Peguam, Ramkarpal Singh, dilaporkan mendesak Md Raus dan Zulkefli menolak lanjutan khidmat itu kerana ia boleh dicabar di mahkamah serta ‘boleh memalukan badan kehakiman’.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese, pula berkata, badan itu mengambil pendirian bahawa pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan serta terus memegang jawatan itu melebihi had umur 66 tahun dan enam bulan, sebagai tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.

Advertisements