SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa pihak yang mendakwa berlaku politik wang dalam pemilihan parti kali ini supaya menampilkan bukti.

Beliau berkata, sebarang dakwaan mesti berdasarkan bukti kukuh bagi membolehkan tindakan diambil.

“Jangan hanya membuat tuduhan. Tunjukkan bukti supaya tindakan tegas dapat diambil.

“Kita mahukan UMNO yang baharu. Kita tidak mahu amalan seperti itu berlaku dan merebak dalam parti lagi,” katanya ketika ditemui selepas persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas dalam pertandingan jawatan Presiden, sebelum ini dilaporkan mendakwa mendengar khabar angin mengenai tindakan calon tertentu membeli undi pada pemilihan UMNO yang selesai pada Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu dipetik sebagai berkata, amalan politik wang dikhuatiri akan menjejaskan masa depan dan proses pembaharuan UMNO, sekiranya khabar angin berkenaan benar.

Mengulas lanjut, Mohamad memberi jaminan tindakan akan diambil jika ada bukti berhubung isu terbabit.

Mengenai penerimaan negatif sebilangan pihak terhadap kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO yang baharu pula, beliau berkata, semua orang berhak atas pendapat masing-masing.

“Setiap orang ada pandangan sendiri. Namun sebagai Timbalan Presiden, saya akan melakukan tanggungjawab dan terus menawarkan nasihat serta pandangan kepada Presiden bagi kepentingan rakyat dan parti. Bagi saya A adalah A dan dua ditambah dua akan sentiasa menjadi empat,” katanya.

Mohamad sekali gus menggesa semua ahli UMNO mengetepikan perbezaan dan bergerak ke hadapan untuk memulih serta mengukuhkan parti selepas pemilihan kali ini.

Advertisements