KERAJAAN akan mengkaji semula keperluan pelaksanaan Cukai Pelancongan dalam memastikan ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Katanya cukai yang dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk satu malam itu perlu dikaji untuk mengetahui pendapat dan pandangan semua pihak terlibat terutamanya pelancong sama ada kadar itu terlalu tinggi atau munasabah.

“Ya (akan kaji semula) kerana kita nak tarik pelancong, kita perlu cari satu kaedah buat pelancong supaya mereka boleh terima dan memudahkan untuk mereka ke Malaysia. 

“Kalau kita letak cukai terlalu tinggi orang tidak akan mahu masuk ke negara, tetapi sekiranya kita mengenakan cukai sederhana atau berpatutan, lebih ramai pelancong akan datang,” katanya dalam sidang media pertamanya sebagai menteri di sini, hari ini.

Cukai Pelancongan yang berkuat kuasa pada 1 Sept 2017 itu mengenakan kadar rata RM10 untuk satu malam ke atas pelancong asing yang tinggal di hotel atau tempat penginapan yang berdaftar.

Pelaksanaan cukai itu telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak terutamanya mereka yang berada dalam industri pelancongan dan baru-baru ini dilaporkan bahawa Persatuan Hotel Malaysia (MAH) telah menyarankan kerajaan supaya memansuhkan cukai itu yang dilihat menghalang kemajuan industri pelancongan.

Sementara itu, Mohamaddin yang juga Anggota Parlimen Silam berkata kementeriannya bakal menganjurkan satu pertandingan mencipta logo baharu untuk kempen Tahun Melawat Malaysia.

Menurutnya, beliau akan mendapatkan pandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada ingin mengekalkan tahun melawat Malaysia pada 2020 atau memilih tahun yang lain.

“Logo itu untuk 2020 tetapi kalau kita tukar tahun melawat Malaysia kita juga perlu tukar logo. Logo sedia ada cantik tetapi kita mungkin boleh dapat lagi cantik (melalui pertandingan). Kita akan buat pertandingan   terbuka yang mana kementerian akan menerima rekaan logo ini, dan kita juga akan ada satu jawatankuasa yang bakal memilih logo yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Mohamaddin tiba di bangunan kementerian itu di sini pada 8.04 pagi, sebelum memulakan jadual hari pertama beliau dengan menghadiri taklimat bersama anggota pengurusan kementerian dan agensi terlibat.

Mohamaddin merupakan antara 13 menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara semalam. 

Advertisements