SHAH ALAM: Polis akan membawa pulang Datuk Seri Jamal Md Yunos dalam masa terdekat, namun ia mesti melalui proses perundangan di Indonesia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sudah berhubung dengan pihak berkuasa di negara jiran itu bagi tujuan mengekstradisi Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu.

“Saya sudah berhubung dengan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) dan mereka mengesahkan Jamal ditangkap dan kini dalam keadaan baik.

“Polis akan mengambil tindakan susulan, namun kita tidak beri tempoh sehari atau dua hari, ia bergantung kepada persetujuan pihak berkuasa Indonesia,” katanya pada Majlis Hari Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan kelmairn, menyatakan Jamal berjaya ditahan POLRI pada jam 6.15 petang di Tebet, Jakarta Selatan.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, polis mengesyaki Jamal menggunakan laluan tikus ketika melarikan diri ke negara jiran itu.

“Kita tidak dapat kepastian cara mana dia berlepas ke Indonesia, kita syak melalui jalan tikus.

“Setakat ini kita juga tidak tahu bagaimana dia ditahan, itu peranan pihak berkuasa Indonesia dan kita juga sudah sediakan pasukan kita untuk bawa dia balik ke negara ini,” katanya.

Pada 25 Mei lalu, media melaporkan, Jamal, 48, menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang.

Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada 5 Oktober tahun lalu.

Selain itu, dia turut didakwa dengan beberapa kes lain termasuk mengikut Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960.

Advertisements