Zeti yang kini menggalas tanggumngjawab sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, beliau dipaksa mengeluarkan kenyataan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung dana RM2.6 bilion itu.

“Merujuk kepada kenyataan bekas Perdana Menteri (Najib) dalam temu bual bersama MalaysiaKini bertarikh 2 Julai lalu yang menyatakan saya menyedari transaksi RM2.6 bilion dalam akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri itu pada 2013.

Zeti berkata, pada 3 Julai 2015, beliau dipanggil ke pejabat Perdana Menteri dan Najib memintanya mengeluarkan kenyataan yang bekas Perdana Menteri itu tidak melakukan kesalahan di dalam akaunnya.

“Saya memberitahunya (Najib) bahawa saya tidak dapat mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak tahu transaksi yang berlaku dalam akaunnya.

Zeti menambah, beliau turut dihubungi seorang Menteri Kabinet pada masa itu yang memintanya berbuat perkara sama.

“Saya juga memberikan jawapan yang sama bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak tahu apa yang berlaku dalam akaun Najib,” katanya.

Berhubung perkara yang berkaitan dengan urus niaga oleh pemegang akaun dalam sistem perbankan, Zeti menjelaskan bahawa BNM bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh institusi kewangan pelapor.

Katanya, komuniti perbankan menyedari sepenuhnya kawal selia dan garis panduan mengenai laporan sebarang urus niaga yang meragukan dan penilaian wajar yang diperlukan terhadap operasi mana-mana akaun sedemikian.

“Melainkan institusi perbankan yang berkaitan melaporkan kepada BNM mengenai salah laku dalam akaun atau jika BNM menerima maklumat yang memberi sebab untuk mempercayai bahawa kesalahan telah berlaku, maka bank pusat tidak dapat memulakan penyiasatan terhadap akaun berkenaan,” katanya.

Dalam temubual ekslusif bersama portal berita Malaysiakini, baru-baru ini, Najib mendakwa Zeti ketika menjadi Gabenor Bank Negara menyedari kewujudan dana RM2.6 bilion dalam akaunnya sebelum Pilihan Raya Umum 2013, namun tidak pernah mempersoalkan perkara itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, BNM sepatutnya memberitahu beliau jika ada keraguan berhubung dana berkenaan.

Advertisements