Peguam Negara (AG) baru yang baru dilantik Tommy Thomas akan mengetuai pasukan pendakwaan apabila bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dihadapkan ke mahkamah Kuala Lumpur, esok.

Thomas mengesahkan bahawa beliau sendiri akan mengetuai pasukan pendakwaan.

“Pasukan pendakwa raya adalah besar,” katanya ketika ditanya tentang siapa lagi akan menjadi sebahagian daripada pasukan itu.

Mengenai soalan mengenai jumlah tuduhan yang akan difailkan terhadap Najib, Thomas sekadar berkata, tunggu hingga esok.

Beliau dilantik memegang jawatan itu awal bulan lalu dan kepakarannya selain undang-undang perlembagaan adalah pemulihan aset.

Sementara itu, dilaporkan Najib dijangka akan menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Mengikut sumber mahkamah, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, Sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Difahamkan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudiannya akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kenyataannya hari ini mengesahkan Najib yang ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di Kuala Lumpur pada 2.35 petang berhubung siasatan SRC International Sdn Bhd akan didakwa esok pada pukul 8.30 pagi.

Bekas perdana menteri telah hadir ke Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata penyiasatan SPRM pada 2015 terhadap Najib membabitkan isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri.

Advertisements