KUALA LUMPUR: Seorang pesakit warga emas maut selepas ambulans dinaiki terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala Jalan Parlimen di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata dalam kejadian jam 7 malam itu, ambulans yang membawa mangsa dalam perjalanan dari Bulatan Pahang menghala arah Parlimen, terlanggar belakang Perodua Myvi.

Mangsa, Fatimah Mohd Arzbon, 67, yang sebelum itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kampung Baru di sini, maut di tempat kejadian.

“Ambulans berkenaan bertolak dari sebuah hospital swasta di Kampung Baru membawa semua penumpang ke rumah mangsa di Taman Tun Dr Ismail.

“Pemandu Perodua Myvi dikatakan mengubah haluan ke lorong tengah menyebabkan ambulans itu terlanggar bahagian belakang kereta itu sebelum terbabas melanggar tembok batu dan berpusing,” katanya.

Zulkefly berkata enam mangsa termasuk pemandu ambulans, pembantu perubatan, jururawat dan dua anggota keluarga mangsa yang turut berada dalam ambulans itu mengalami kecederaan dan ​​​​​​dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemandu Perodua Myvi berusia 30 tahun dari Yaman itu, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Advertisements