Selepas menerima rawatan selama 10 hari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan keluar hospital malam tadi.

Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan serta rakyat yang mendoakan kesihatannya.

“Alhamdulillah, semalam telah dibenarkan keluar dari PPUM usai jalani rawatan rapi daripada 23 Jun lepas.

“Sekalung penghargaan buat doktor dan perawat yang penuh efisien. Terima kasih juga buat semua atas doa yang tidak putus. Semoga dikembalikan kebaikan yang sama buat semua. Amiin,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar dikejarkan ke PPUM selepas mengadu sakit bahagian bahu dan belakang ketika baru tiba di rumahnya di Bukit Segambut dari Turki, 23 Jun lalu.

Beliau turut menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur sebelum dibebaskan daripada hukuman penjara pada 16 Mei lalu.

Datuk Seri Anwar juga pernah menjalani pembedahan bahu kanan pada Mac tahun ini.

Advertisements