JAKARTA: Ketua Polis Indonesia, Jeneral Tito Karnavian berkata, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, yang ditahan di Tebet, Jakarta Selatan akan dihantar pulang secepat mungkin dari republik itu.

“Kami akan segera menghantar beliau pulang, jika tidak hari ini (Selasa), esok (Rabu),” kata Tito di ibu pejabat polis ibu kota ini semalam dilaporkan agensi berita Antara.

Beliau beliau, Jamal, suspek dalam beberapa kes di Malaysia, disyaki keluar dari negara itu 13 Jun lalu secara haram.

Tidak lama kemudian, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menghubungi Tito untuk memberi maklumat mengenai Jamal dan meminta bantuan menangkapnya kerana ada petunjuk ahli politik itu berada di Indonesia.

Menurut Tito, sebelum tiba di ibu kota ini, Jamal dipercayai singgah di Medan, Sumatera Utara. Penyiasat polis akhirnya menangkap Jamal di Tebet kelmarin dan beliau segera dibawa ke Rumah Tahanan Polis Daerah Metro Jaya.

Jamal diburu polis dalam kaitan sembilan kes dikaitkan terhadapnya termasuk satu dakwaan rasuah membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut mengheret bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Advertisements