KUALA LUMPUR – Jenazah bayi yang mayatnya ditemukan dalam peti ais rumah pengasuhnya di Batu Caves akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, Kuala Terengganu malam ini.

Mayat Adam Rayqal Mohd Sufi yang selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur pukul 2.15 petang tadi dimandi, dikafan dan disolatkan di surau Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN).

Jenazah Allahyarham dipangku ibunya, Farrah Madihah Othman yang ditemani suami, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, dengan menaiki kenderaan yang dipandu anggota keluarga mereka.

Bagaimanapun, mereka enggan mengulas lanjut mengenai kejadian.

Tiga lagi kereta milik ahli keluarga Allahyarham Adam turut mengiringi perjalanan ke Kuala Terengganu.

Hadir menziarah ibu bapa Allahyarham ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan pagi tadi, disusuli Menteri Kesihatan, Dzulkely Ahmad pada sebelah petang.

Advertisements